Tuesday, 22 May 2012

Alat Kecekapan Tenaga yang tidak cekap


KEPALA BATAS: Pengguna di negara ini dinasihati agar tidak terpengaruh dengan alat penjimatan elektrik yang didakwa dapat menjimatkan penggunaan tenaga sehingga 40 peratus.

Ketua Kawasan Suruhanjaya Tenaga (Pulau Pinang, Kedah, Perlis) Md Zakuan Ibrahim berkata dakwaan itu tidak tepat dan Suruhanjaya Tenaga telah menarik balik perakuan sejak tiga bulan lepas.
"Perakuan yang diberikan oleh Suruhanjaya Tenaga hanyalah dari aspek keselamatan dan bukannya dari aspek penjimatan penggunaan tenaga elektrik. Ini mengelirukan pengguna.

"Alat itu hanya menjimatkan penggunaan tenaga antara satu hingga lima peratus sahaja bukan 40 peratus," katanya kepada pemberita selepas majlis Program Bersama Pemimpin Komuniti Peringkat Pulau Pinang, di sini hari ini.

Beliau juga meminta pengguna membuat laporan kepada suruhanjaya itu jika masih ada syarikat menjual peralatan sedemikian.

"Pihak kami akan memanjangkan aduan itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut, kerana tiada peruntukan khusus di bawah suruhanjaya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat terbabit," katanya.

Beliau berkata alat itu yang sudah berada di pasaran sejak 10 tahun lepas dijual pada harga antara RM200 hingga RM400. - BERNAMA

Alat Penjimatan Tenaga . Bergunakah ?


Pengiklanan dan penjualan alat penjimatan tenaga kepada masyarakat telah menimbulkan banyak kekeliruan.

Banyak aduan yang diterima oleh Suruhanjaya Tenaga dan juga persatuan-persatuan pengguna menunjukkan bahawa pengguna-pengguna tidak berpuas hati dengan dakwaan yang dibuat oleh penjual-penjual oleh kerana ESD ini didapati tidak menghasilkan penjimatan tenaga seperti yang diiklankan.Suruhanjaya Tenaga menjelaskan alat ini sebenarnya tidak boleh menjimatkan tenaga atau bil elektrik dengan ketara.

Alat plug-and-play ini jika terdapat penjimatan sekali pun, nilai penjimatannya hanyalah antara 1% – 3% sahaja, tidak seperti yang diiklankan oleh kebanyakan penjual antara 20% hingga 40%. Pada dasarnya komponen utama di dalam alat penjimatan tenaga ialah kapasitor yang bersifat boleh meningkatkan faktor kuasa (power factor). Faktor kuasa yang rendah boleh menyebabkan arus elektrik menjadi lebih tinggi dan arus yang lebih tinggi boleh menyebabkan kehilangan kuasa dalam sistem pendawaian antara 1% hingga 3%. Pemasangan alat ini boleh meningkatkan faktor kuasa, mengurangkan arus elektrik dan sekali gus mengurangkan kehilangan kuasa dalam sistem .

Pengiklanan ini menjelaskan bagaimana kapasitor yang merupakan komponen asas gajet tersebut berfungsi. Selain dari itu, kaedah penjimatan yang sebenar seperti tidak membiarkan alat-alat elektrik yang tidak digunakan sentiasa terpasang, menggunakan kelengkapan elektrik yang cekap tenaga, dan menggunakan pencahayaan dan pengudaraan alam mengantikan lampu dan penghawa dingin, dijelaskan.Langkah kesedaran pengguna mengenai alat ini telah menghasilkan impak yang besar di kalangan pengguna yang kini telah lebih memahami kaedah penjimatan tenaga sebenar.